9 Nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad Untuk Rakyat Malaysia

Sejarah tercipta apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kembali diberi mandat untuk memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri ke – 7 Malaysia.

Pengerusi Pakatan Harapan berumur 93 tahun itu juga mencipta sejarah apabila menjadi ketua negara paling tua dilantik dalam dunia melalui proses demokrasi.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16hb Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.

Beliau dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden. Tun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

 

Keberhasilan usaha dan baktinya memacu negara menjadi negara maju menuju wawasan 2020 yang kini berada dalam genggaman beliau.  Wawasan 2020 merupakan misi yang bertujuan menjadikan Malaysia tergolong dalam kelompok negara maju atau negara industri dan bukan lagi negara membangun atau pesat membangun di bawah kategori dunia ketiga.

Khas untuk pembaca setia Majalah Niaga, kami kongsikan nasihat daripada negarawan tercinta iaitu Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

1. Usah Berkira Belanja Wang Untuk Beli Buku

Sewaktu kecil, beliau belanjakan wang yang diberi ibu bapanya untuk beli buku pada hari minggu. Beliau banyak membaca buku Bahasa Inggeris , jadi sebab itu beliau sangat fasih dalam pertuturan Bahasa Inggeris.

Dari kecil lagi beliau meletakkan kepercayaan tinggi, apabila kita buat berulang kali untuk sesuatu perkara, tidak dapat tidak, kita akan jadi cekap, termasuk membaca buku.

Jika anda banyak membaca, otak anda makin cekap. Apa yang anda bakal capai 3-5 tahun, adalah dari apa yang anda baca sekarang. Usah berkira untuk belanja wang ringgit untuk dapat bahan bacaan. Nilainya bukan pada apa yang kita keluarkan (wang ringgit), tetapi pada apa yang kita akan dapat nanti (ilmu).

2. Ubah Mindset Bekerja Kepada Berniaga

Di seluruh Alor Star, banyak kedai orang Cina. Pekan Melayu, tetapi kebanyakan yang ada adalah kedai cina. Tun  tanya diri beliau  kenapa begini. Orang Melayu ketika itu anggap berniaga itu kerja yang hina.

Dapat gaji adalah kerja mulia. Mudah kata, baru ada status, baru ada ‘style’. Beliau rasa tidak sedap hati. Majoriti orang melayu, masa itu nelayan, petani. Rata – rata miskin, sehingga terbit rasa kasihan lihat mereka. Beliau nampak kita perlu ubah mindset begini.

3. Persediaan Strategi Menentukan Kejayaan

Ketika darjah 4, Jepun serang Tanah Melayu. 3 tahun beliau tidak bersekolah. Timbul rasa hairan bagaimana Jepun boleh kalahkan British.

Walhal ketika itu, orang Melayu kebanyakan mengandaikan sangat mustahil untuk pihak British kecundang, lagi-lagi di tangan Jepun.

Sebab itu anda boleh lihat dimana Jepun sekarang berbanding kita. Jika mereka mahu lakukan sesuatu perkara, mereka rancang dengan strategi yang sistematik. Dari sekecil-kecil hal sehingga hal yang berat.

4. Pertahankan Tanah Air Kita Walaupun Apa Jua Keadaan

Masa Jepun kalah, British kembali semula ke Tanah Melayu. Kita orang Melayu, seronok sakan pula. British datang, kata mahu gubal cara pemerintahan, mereka rancang mahu asaskan Malayan Union, mahu jadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British.

Secara tidak langsung, raja diturunkan pangkat, mereka akan berkuasa sepenuhnya termasuk hal perundangan. Ketika itu orang Melayu marah, baru nak marah. Ketika itu usia saya belasan tahun, saya sangat bergerak aktif. Waktu malam, saya tampal poster, protes terhadap British.

5. Tip Kepemimpinan – Tahu Apa Orang Bawahan Mahu

Satu tip untuk jadi pemimpin yang mulia di mata rakyat. Tahu apa yang orang bawahan mahu. Anda buat, rakyat akan suka. Beliau suka pemimpin yang boleh bawa individu dari orang kebiasaan jadi orang berjaya.

Selain itu, pemimpin pertama yang beliau kagum dan contohi adalah Rasulullah S.A.W. Kedua, Peter The Great, pemimpin dari Russia. Dan ketiga, Nelson Mandela, pejuang kemerdekaan Afrika Selatan.

6. Disiplin Kunci Kejayaan Hidup

Untuk melakukan sesuatu perkara,  lakukan dengan penuh disiplin. Masa adalah emas. Beliau sangat menghargai masa. Sesibuk mana pun jadual Tun, beliau tetap akan memastikan ianya berjalan dengan baik tanpa ada sebarang gangguan atau masalah.

7. Kepada Orang Muda : Usah Dilayani Keseronokan Melampau

Jangan ikut keseronokan yang melampau. Sebagai contoh, orang Melayu sekarang suka jadi mat rempit dari teruskan pelajaran dari universiti.

Dahulu lain, dapat tawaran universiti, kita dahulu melompat-lompat suka. Melayu sekarang perlu sedar. Tidak rajin belajar ilmu baru, anda tidak akan berjaya.

8. “Bersih, Cekap, Amanah”

Buat kerja dengan amanah, jujur. Dahulu saya cipta slogan, “Bersih Cekap Amanah”. Kalau kita latih diri sebagai orang disiplin, dan andai kita ikuti prinsip yang dibawa slogan itu, negara kita akan maju lebih dari negara maju yang lain.

9. Pengorbanan Sekarang Untuk Kesenangan Generasi Masa Depan

Apa yang golongan muda boleh buat untuk negara? Jawapan saya, perlu kuasai segala hal demi keluarga, masyarakat, negara. Jika hasil tidak nampak sekarang, itu kerja Tuhan, kita ikhtiar, kita mohon doa pada Dia. Yang pastinya, dengan izin Allah hasil pengorbanan kita dahulu, anak cucu kita akan hidup senang lenang.

Begitu juga perihal kemerdekaan. Kemerdekaan negara pada hari ini adalah hasil pengorbanan dari nenek moyang kita pada zaman mereka.