9 Manfaat Jika Anda Amalkan Aktiviti Berbasikal

Berbasikal sama ada di dalam mahupun di luar rumah ialah satu bentuk keseronokan yang boleh diperolehi dengan mudah. Tetapi ia akan menjadi lebih berfaedah jika ia dijadikan satu program untuk membentuk kecergasan fizikal. Berbasikal amat berkesan dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran dan boleh dijadikan satu aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Sukan berbasikal sudah lama menjadi pilihan popular di beberapa negara maju. Bagaimana pula dengan penerimaan masyarakat kita terhadap sukan berbasikal ini? Sejauh mana bagusnya aktiviti ini untuk kesihatan lebih-lebih lagi apabila anda sudah lama tidak bersenam?

Sukan berbasikal dikatakan dapat menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutamanya dibahu dan pinggul bagi menghasilkan postur tubuh menarik seperti yang diidamkan. Namun, terdapat banyak kebaikan dan manfaat lain dengan melakukan aktiviti berbasikal. Apa kata kita sama-sama semak apa sebabnya anda perlu mencuba senaman ini sebagai aktiviti rutin.

“Kalau membandingkan berlari dengan berbasikal dengan intensiti yang sama tinggi, berlari membakar lebih banyak kalori kerana anda harus memindahkan tenaga secara terus-menerus. Namun, ini seperti membandingkan epal dengan jeruk,” kata Prof. Jamie Timmons daripada Universiti Loughborough di Britain.

Hanya membandingkan jumlah kalori yang dibakar untuk menentukan jenis senaman yang anda pilih tetapi mengabaikan kesan menyeluruh senaman itu ke atas tubuh, bukanlah satu pilihan yang bijak.

Berlari mungkin lebih baik untuk menggerakkan tubuh secara terus-menerus. Tetapi itu juga bermakna semua sendi akan menerima beban hentakan tanpa henti. Semakin berat tubuh anda, semakin berat juga sendi anda menerima hentakan.

Timmons mengatakan itulah sebabnya mengapa berbasikal iaitu sejenis senaman rendah hentakan, menjadi pilihan tepat untuk mereka yang baru bersenam kembali. Kira-kira 70 peratus berat tubuh disalurkan kepada tayar basikal berbanding pergelangan kaki.

“Anda boleh melakukan senaman berbasikal secara maksimum dan menghindari kecederaan kerana tubuh anda tidak menghentak ke bawah,” terang Timmons.

Dr. Simon Kemp, daripada Fakulti Sukan dan Ubat-ubatan sebuah universiti di Britain merupakan seorang penggemar basikal dan mampu mengayuh sehingga 150 kilometer tanpa masalah. Dia mengatakan, salah satu keunggulan basikal ialah anda boleh memperbaiki teknik kayuhan tanpa memerlukan usaha yang banyak.

“Anda boleh berulang-alik ke tempat kerja dengan mudah yang intensitinya cukup rendah iaitu hanya menggunakan sekitar 60 peratus degupan jantung.”

Tentu sahaja segala macam bentuk sukan membantu meningkatkan tahap kesihatan lebih-lebih lagi ada kajian membuktikan bahawa berbasikal dikatakan paling baik.

Cuba andaikan jika seorang individu dengan berat 100kg (220 paun) mengayuh basikal untuk ke tempat kerja setiap hari, dipercayai kalorinya akan terbakar sehingga 1056 dalam tempoh satu jam perjalanannya. Ini bermakna hanya dengan berbasikal individu tersebut telah mampu membakar 5280 kalori pada tubuhnya dalam masa 5 hari bekerja tanpa mengamalkan diet berbahaya. Proses membakar lemak dan menguruskan badan juga berhasil dalam masa yang singkat sahaja.

Ketahui 9 Manfaat Pentingnya Senaman Berbasikal

1. Mengurangkan Risiko Sakit Kronik

Berbasikal amat baik untuk kesihatan jantung. Ketika berbasikal pengaliran darah ke jantung akan meningkat. Peningkatan aliran darah membuatkan jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan lebih baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 50%. Tidak ketinggalan penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes.

Kajian oleh British Medical Association mendapati berbasikal amat sesuai untuk diamalkan oleh penghidap bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan memperbaiki fungsi paru-paru.

Berbasikal di persekitaran terbuka membuatkan individu terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran matahari kaya dengan vitamin D yang bagus untuk kesihatan hingga mampu mencegah penyakit osteoporosis, kanser payudara dan kanser prostat. Selain itu, senaman ini turut meningkatkan pengeluaran sel penyerang bacteria di samping menguatkan system imun tubuh. Malah masalah insomnia juga dapat diatasi menerusi senaman berbasikal kerana ia mampu meningkatkan kualiti tidur individu.

2. Merawat Artritis

Berbanding senaman lain, berbasikal tidak memberikan tekanan kepada sendi atau tulang rawan. Sebaliknya ia membantu menyihatkan otot dan sendi pada kaki dengan gerakannya yang berupaya untuk menguatkan tulang rawan. Keupayaan ini secara tidak langsung dapat membantu merawat dan mengurangkan risiko serangan arthritis dan pembengkakan sendi.

3. Memperbaiki Mood

Seperti senaman lain, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus mengusir keluar segala perasaan negative terutama stress yang ada dalam diri. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormone individu bahkan menjadikan mereka lebih positif dalam menjalani kehidupan.

4. Menurunkan Kadar Kolestrol

Melibatkan pergerakan otot-otot paha, lengan dan pinggul membuatkan aktivit berbasikal efektif dalam menurunkan kadar kolesterol yang terdapat dalam tubuh. Hanya dengan melakukan senaman berbasikal sebanyak 3 kali seminggu dan satu jam bagi setiap sesi, paras kolesterol yang tinggi akan berada di tahap sepatutnya.

5. Menguatkan Tulang

Berbasikal secara rutin membantu menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang. Justeru, risiko untuk mengalami patah atau kecederaan tulang yang lain akan berkurangan. Malah kajian juga menunjukkan bahawa individu yang aktif berbasikal jarang mengalami patah tulang pinggul apabila tua. Selain itu berbasikal juga berupaya menguatkan tulang kaki dan merupakan mobility terbaik untuk pinggul dan sendi lutut. Kanak-kanak yang sedang mengalami proses tumbesaran amat digalakkan untuk melakukan senaman yang melibatkan kaki kerana ia bukan hanya mampu menguatkan kaki malah turut juga berupaya menjadikan mereka lebih tinggi.

6. Merehatkan Minda

Aktiviti ini juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika kita berbasikal pada awal pagi atau lewat malam. Hembusan udara yang segar pada kedua-dua waktu ini mampu menenangkan fikiran sekaligus mengusir stress yang sedang dialami. Dalam masa yang sama ia turut meningkatkan kepekaan dan daya konsentrasi individu.

7. Nikmati Keindahan Alam

Faedah yang amat baik bila kita berbasikal ialah boleh membawa kita ke satu perjalanan yang jauh melalui pemandangan yang menarik. Menjadikan satu destinasi sebagai satu sasaran dan memperolehi pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan menjadikan berbasikal begitu mengembirakan, terutama untuk seseorang yang cepat jemu dengan satu-satu aktiviti yang tidak berubah.

8. Mengeratkan Silaturahim

Berbasikal boleh dikembangkan kepada semua ahli keluarga. Anak-anak juga boleh mengambil bahagian dan ini menjadikan ia sebagai suatu aktiviti keluarga yang menarik. Bukan itu sahaja, anda boleh mengajak kawan-kawan atau menyertai mana-mana kumpulan basikal untuk melakukan aktiviti ini bersama. Semakin jauh perjalanan, kayuhan dan kepenatan yang dikongsi pasti berbaloi.

9. Melakukan Aktiviti Lain

Tentu tidak perasan bahawa semasa anda berbasikal, bermakna anda membuat latihan untuk bahagian bawah badan dan juga meningkatkan kedua-dua tahap kecergasan aerobik dan anearobik, tanpa latihan keras. Dengan ini anda turut dapat mengelakkan diri dari berlakunya sebarang kecederaan yang lebih serius jika melakukan larian atau senaman kardio yang lebih berat.